09 January 2010
Menempuh dunia cikgu...(kartun cikgu)
13 October 2009
Ketabahan Bilal hadapi seksaan
SETIAP hari Umaiyyah bin Khalaf menantikan berita Nabi Muhamamd akhirnya berjaya mati dibunuh oleh hambanya, Bilal bin Rabah.
Beliau tidak senang duduk selagi berita kejayaan pembunuhan itu tidak dibawa pulang oleh Bilal.
Sebenarnya pembunuhan Nabi Muhammad itu bukanlah menjadi matlamat utama si Umaiyyah tetapi beliau membayangkan nama besar yang bakal diperoleh andai misi 'suci' ini berjaya disempurnakan oleh Bilal.
Tentu Umaiyyah akan dipuja, disanjung sehingga tujuh keturunan tidak habis diperkatakan kerana kehebatannya kerana berjaya membunuh baginda Rasulullah!
Namun setiap hari Umaiyyah dihampakan oleh pelbagai alasan Bilal kerana masih tidak berjaya untuk membunuh manusia yang mulia, Nabi Muhammad itu.
Sedangkan apa yang berlaku di belakang Umaiyyah, hamba kesayangannya itu sedang menikmati detik-detik keislaman malah Bilal sentiasa berada di sisi Rasulullah.
Untuk membunuh baginda boleh dilakukan bila-bila masa sahaja. Namun apabila bercakap soal keimanan yang kental dan rasa kasih yang mendalam terhadap Pesuruh Allah itu, Bilal sama sekali tidak akan menikam seseorang yang menyebarkan sebuah agama, antara ajarannya meletakkan semua manusia adalah sama rata, sama taraf.
Juga seseorang yang begitu menjadi obor memberikan beliau semangat untuk menikmati kehidupan sebagai manusia yang merdeka.
Tidak sesekali Bilal akan cuba mencederakan Nabi Muhammad!
Malah Bilal sedia mempertahankan Nabi Muhammad daripada apa juga ancaman dan cubaan yang buruk dari mana-mana pihak yang memusuhi baginda.
Sehinggalah selepas peristiwa keluarga Amar bin Yasir, iaitu bapanya Yasir, ibunya Sumayyah dan adik lelakinya, Abdullah yang diseksa dan mati kerana keengganan mereka untuk meninggalkan Islam.
Umaiyyah sentiasa memberi amaran bahawa seksaan seperti itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang berani memeluk Islam. Hatta isteri mahupun anak-anaknya sendiri!
Namun tanpa disangka kata-kata keras Umaiyyah itu hanya menerima ketawa yang besar oleh para pembesar Quraisy yang lain. Ini menyebabkan Umaiyyah kehairanan kerana tidak mengetahui apa-apa.
"Kamu Umaiyyah, ibarat berkawal siang malam tetapi rumah sendiri dimasuki pencuri," kata Abu Lahab sambil berkias.
Umaiyyah benar-benar tidak faham kiasan di sebalik kata-kata Abu Lahab itu.
"Kamu hanya pandai bercakap sedangkan kamu tidak tahu apa yang berlaku kepada hambamu sendiri," balas Abu Lahab.
Umaiyyah kemudiannya benar-benar tersentak apabila Abu Lahab menceritakan mata kepalanya yang melihat sendiri Bilal meludah patung-patung berhala yang bersepah di sekitar Kaabah sebagai tanda dia telah berpaling daripada ajaran menyembah patung-patung itu.
"Bilal mengaku bahawa Tuhannya sekarang adalah Allah. Itu bukti Bilal sudah menjadi pengikut Muhammad. Perbuatan hamba kamu itu satu penghinaan yang besar kepada kita," tegas Abu Lahab.
Umaiyyah benar-benar tidak menyangka hamba yang paling dipercayainya itu sanggup berpaling tadah dan berani menipu.
Dia berasa sangat malu. Pada hal Umaiyyah telah menawarkan kemerdekaan kepada Bilal jika hambanya itu berjaya membunuh Nabi Muhammad. Satu tawaran yang sangat diidam-idam dan sama sekali tidak boleh dilepaskan oleh mana-mana hamba.
Mereka lazimnya sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkan status bebas daripada perhambaan itu.
Tetapi ternyata pengaruh Nabi Muhammad lebih kuat, seolah-olah Muhammad kini merupakan tuan kepada Bilal, bukannya dirinya!
Jadi mengertilah kini Umaiyyyah mengapa misi Bilal sering tertangguh dengan pelbagai alasan. Rupa-rupanya hambanya tidak menikam Muhammad, tetapi telah menikam beliau dari belakang!
"Sekiranya Bilal itu hamba milik aku, pasti sudah aku bunuh dia. Berani dia menghina tuhan kita," kata Abu Suffian pula dengan sengaja bagi menambahkan kemarahan Umaiyyah.
Tanpa mampu berkata-kata lagi, Umaiyyah terus pulang ke rumah yang diiringi dengan gelak tawa para pembesar Mekah itu.
Setiba di rumah kemarahan Umaiyyah tidak dapat dibendung lagi apabila mendengarkan Bilal tanpa sebarang perasaan takut atau ragu-ragu sedang mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.
Walaupun begitu merdu dan mengasyikkan bacaan si Bilal namun semua itu langsung tidak dapat memadamkan api kemarahan Umaiyyah, malah semakin memarakkan lagi perasaan geram dan sakit hati dia terhadap Bilal.
"Aku suruh kamu bunuh Muhammad, bukan menjadi pengikutnya!!!" bentak Umaiyyah sambil terus memukul Bilal tanpa henti.
Bilal yang ketika itu sudah bersedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan telah menunjukkan kedegilan yang luar biasa dengan langsung tidak mempedulikan nasib yang bakal diterima.
Malah beliau langsung tidak menunjukkan rasa takut malah cuba mengajak Umaiyyah untuk menerima Islam.
Kata-katanya itu menyebabkan Umaiyyah bertempik marah dan Bilal terus dipukul.
Hamba-hamba lain hanya mampu memandang sahaja apabila Bilal teruk diseksa dan dibalun oleh tuan mereka. Malah ada yang menyuruh Umaiyyah supaya Bilal itu terus dibunuh sahaja.
Namun Umaiyyah tidak mahu Bilal segera mati kecuali hendak diseksanya terlebih dahulu sebelum Bilal akan mati secara perlahan-lahan.
Diikat
Lalu apa yang berlaku selepas itu Bilal diikat leher tangan dan kaki yang kemudian diheret seperti anjing untuk dibawa ke padang pasir yang tandus dan panas terbakar untuk diseksa dengan pelbagai seksaan yang pedih.
Umaiyyah mahu hambanya itu menerima nasib dan seksaan yang lebih pedih dan teruk daripada yang dialami oleh keluarga Yasir sebelum ini.
Apa yang berlaku kepada Bilal di tangan Umaiyyah selepas itu adalah seperti yang kita telah ketahui. Sudahlah hidupnya selama ini begitu terseksa sebagai hamba abdi dan kini hanya kerana dia mengaku Islam menyebabkan seksaan terhadapnya tiada kesudahan.
Malah semakin teruk di peringkat yang paling zalim. Seolah-olah Umaiyyah mabuk darah Bilal yang terpercik ke sana sini akibat diseksa tetapi dalam masa yang sama dia tidak mahu melihat Bilal itu mati!
Dua hari dua malam lamanya Bilal diseksa tanpa henti tanpa sesiapa dapat menahan amukan marah Umaiyyah yang merasakan malu yang ditanggung tidak dapat dibeli walaupun sudahnya Bilal mati.
Sehinggalah Abu Bakar kemudiannya sanggup membeli Bilal dari Umaiyyah dengan tawaran harga yang tinggi.
Namun usaha atau urusan jual beli Bilal itu sebenarnya tidak mudah. Umaiyyah tetap enggan melepaskan Bilal, selagi hambanya itu tetap mengaku bahawa Allah itu adalah tuhannya dan tidak kembali semula ke ajaran yang asal.
"Sekalipun Bilal ini mati selepas saya membeli dari kamu Umaiyyah, kamu masih tidak rugi apa-apa kerana saya telah menjualnya kepada kamu dengan harga yang cukup mahal.
"Malah saya sebenarnya yang rugi kerana tidak ada faedahnya saya membeli seorang hamba yang pastinya akan menemui maut, Bilal hanya menunggu masa sahaja kerana sesiapa sahaja jika teruk diseksa seperti ini pasti sudah lama dijemput ajal," kata Abu Bakar penuh harap.
Akhirnya Umaiyyah termakan juga dengan kata-kata Abu Bakar itu dan sekurang-kurangnya dia telah menunjukkan kepada rakan-rakannya dan seluruh penduduk Mekah bahawa tidak ada sesiapa yang terlepas jika cuba berpaling dari menyembah berhala.
Umaiyyah akhirnya setuju untuk menjual Bilal kepada Abu Bakar, malah secara sinis beliau yakin Bilal pasti akan mati dan percuma sahaja sahabat baik Nabi Muhammad itu menjual hamba itu kepadanya.
Seperti yang kita ketahui juga, bahawa Bilal bukan sahaja mampu bertahan, malah dipanjangkan Allah akan usianya. Namun yang lebih hebat Bilal mencipta nama yang cukup hebat dan besar dalam sejarah Islam sedangkan asalnya dia seorang hamba abdi!
Umurnya tidak sahaja panjang, malah beliau merupakan antara sahabat-sahabat besar Rasulullah SAW yang melewati sehingga kewafatan baginda, Bilal tetap teruskan perjuangan menegakkan syiar Islam.
Malah 'kebangkitan' Bilal menyebabkan bekas majikannya, Umaiyyah menyesal tak sudah kerana menjualkan hambanya itu kepada Abu Bakar. Malah dia sanggup membeli semula Bilal dari Abu Bakar dengan harga yang berlipat ganda tinggi berbanding harga yang dijual sebelum ini.
Umaiyyah sama sekali tidak menyangka Bilal akan sembuh daripada luka-luka yang parah malah begitu menikmati kehidupan sebagai manusia yang merdeka, malah lebih teruk lagi Bilal kini menjadi seteru yang memerangi golongan kafir Quraisy.
Ini apabila Bilal turut serta dalam Perang Badar dan berjaya mengalahkan mereka yang dahulunya merupakan tuan kepada Bilal.
Bagaimana dengan nasib Umaiyyah akhirnya, berjayakah beliau membalas dendam terhadap Bilal kerana memalukannya di hadapan orang ramai?
Beliau akhirnya mati malah kepalanya berjaya dipenggal sehingga putus. Siapa yang berjaya membunuh Umaiyyah itu dan ikuti seluruh kisah hidup Bilal melalui buku karya Abdul Latip Talib, terbitan PTS, Bilal Bin Rabah - Pengumandang Seruan Langit!
P/s: Buku yang amat menarik dengan gaya bahasa yang mudah, sebuah novel islamik mengenai sejarah dah riwayat hidup sahabat Rasulullah....Jom sama2 kita pakat2 baca...
09 October 2009
Iktibar dari bencana:Terfikirkah kita?
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita-berita kejadian bencana alam yang melanda di beberapa tempat di seluruh dunia. Kejadian gempa bumi yang melanda Padang, Sumatera, Taufan Ketsana di Vietnam, Taufan Parma di Filipina, tsunami di Samoa. Kejadian bencana gempa bumi yang menimpa negara jiran kita Indonesia turut sama dirasai oleh beberapa buah negeri yang berada di selatan tanah air kita. Tempias taufan Ketsana dan Parma juga turut dirasai oleh negeri-negeri yang terletak di timur negara dengan kehadiran hujan dan rebut yang luar biasa di negeri tersebut.
Adakah kejadian-kejadian bencana ini dianggap biasa bagi sesetengah pihak? Yang menganggap bencana alam yang terjadi ini adalah bencana alam biasa yang terjadi akibat daripada fenomena alam semulajadi? Ataupun ada perkara yang sebaliknya yang perlu kita fikirkan dan hayati.
Sebagai umat Islam, sudah semestinya kita harus percaya bahawa setiap kejadian yang berlaku ini terjadi tidak sia-sia. Ada hikmah yang tersembunyi yang perlu kita fikirkan. Kejadian-kejadian bencana ini menunjukkan tanda-tanda kebesaran, keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t yang menuntut kita semua supaya berfikir.
Al-Quran telah menjelaskan bahawa sebahagian kerosakan yang berlaku adalah akibat daripada kerakusan tangan-tangan manusia itu sendiri, sebagaimana yang dijelaskan didalam Al-Quran, surah Ar-Rum, ayat 41yang bermaksud:
“ telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”
Kejadian bencana ini juga, perlu kita lihat sebagai tanda kemurkaan Allah s.w.t dari langit dan bumi sebagaimana yang berlaku kepada umat-umat terdahulu sebagaimana yang telah diceritakan didalam al-Quran. Azab bencana yang menimpa umat-umat terdahulu adalah rentetan daripada perbuatan maksiat umat terdahulu dan mereka tidak mahu beriman kepada Allah s.w.t malah telah mendustakan rasul yang telah diutuskan oleh Allah s.w.t. Hal ini dapat kita perhatikan apakah kesudahan yang terjadi kepada kaum Nabi Lut, kaum Nabi Nuh, penduduk Madyan di zaman Nabi Shuib, Kaum Tsamud di zaman Nabi Salleh dan kaum Nabi Hud iaitu Kaum Aad.
Sebagai umat Islam yang beriman, kita juga perlu melihat bencana ini sebagai satu ujian yang telah didatangkan oleh Allah s.w.t untuk menguji keimananan dan kesabaran umatNya sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 214 yang bermaksud:
“Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman Yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).”
Apa yang perlu kita insafi daripada kejadian ini adalah ianya menuntut kita supaya kembali kepada Allah s.w.t. dan meninggalkan segala maksiat, kembali menginsafi diri kita, adakah kita telah mengamalkan ajaran Islam dengan sebetul-betulnya, dengan sebaik-baiknya ataupun sebaliknya.
Sama-samalah kita fikir-fikirkannya......
Disini saya sertakan artikel yang diambil dari akhbar Utusan Malaysia, ruangan rencana (9 oktober 2009) untuk renungan bersama.
Bertaubat satu-satu jalan hindari ditimpa musibah
Oleh MOHD. SHAUKI ABD MAJID
KEJADIAN gempa bumi yang melanda Padang, Sumatera, Taufan Ketsana di Vietnam, Taufan Parma di Filipina, tsunami di Samoa menuntut kita untuk berfikir tentang tanda-tanda keesaan dan kekuasaan Allah SWT.
Apakah ini petanda bahawa bumi sudah semakin tua dan mengalami ketidakstabilan akibat daripada perbuatan buruk penghuninya atau sebaliknya?
Kewujudan bencana telah wujud sejak berjuta-juta tahun dahulu dan sehingga kini masih berlaku malah menimpa manusia yang hidup sebelum al-Quran diturunkan. Dan Allah SWT telah pun semadikan kejadian bencana-Nya di dalam al-Quran serta memanggilnya kemurkaan dari langit.
Kemurkaan ini dibangkitkan atas beberapa sebab. Antaranya ialah sifat zalim dan fasiq manusia serta tidak mempedulikan perintah Tuhan. Kaum Nabi Lut contohnya mengamalkan homoseksual dan amalan itu dilakukan dengan meluas dan terbuka.
Tiada manusia sebelum mereka yang mempunyai keinginan hawa nafsu seperti itu. Mereka tidak menghiraukan amaran para Rasul dengan melakukan dosa dan mengundang kemurkaan Ilahi, maka datanglah kemurkaan dari langit yang menghapuskan mereka sama sekali, kecuali sedikit yang percaya bersama Lut.
Bandar raya diterbalikkan oleh kuasa Allah SWT dan angin ribut yang mengandungi batu-batu yang dibakar menghujani mereka bertubi-tubi seperti yang dirakamkan di dalam al-Quran yang bermaksud: Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. (Surah Hijr:73).
Teriakan itu terjadi juga pada kaum Nabi Shuaib iaitu Madyan, yang hidup sebelum zaman Nabi Lut. Tetapi bagi kaum Madyan, bencana itu hadir daripada gempa bumi yang menghapuskan mereka akibat daripada kezaliman, menipu sukatan dan timbangan, dan sekelompok manusia yang duduk di setiap jalan untuk mengancam dan menghalang orang daripada beriman ke jalan Allah SWT.
Para pembesar negara dikatakan turut serta dalam penindasan dan kezaliman tersebut. Lantaran itulah, mereka dihina dan dihapuskan Allah SWT dengan bencana teriakan dan gempa bumi. Al-Quran menjelaskan, Dan tatkala datang (masa pelaksanaan) perintah kami, Kami selamatkan Nabi Syuaib berserta umatnya yang beriman, dengan rahmat daripada kami: dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh letusan suara yang menggemparkan bumi, lalu menjadilah mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing. (Surah Hud :94)
Demikian juga Kaum Tsamud (Kaum Nabi Salleh) menerima azab yang menamatkan riwayat mereka sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Maka mereka membesarkan diri terhadap perintah Tuhannya, lalu mereka disambar petir (dengan tidak dapat melarikan dirinya) sedang mereka melihatnya. Dengan yang demikian, mereka tidak dapat bangun lagi, dan mereka juga tidak mendapat pertolongan. (Surah Az-Zariyyat: 44-45)
Bencana ini terus terjadi ke atas kaum Nabi Hud iaitu Aad yang tinggal di daerah Al-Ahqaf di Hadhramaut, Yaman. Kaum Aad yang zalim dan diktator itu ditimpa azab angin amat kencang, yang meniup selama lapan hari dan tujuh malam. Mereka juga disambar oleh halilintar.
Ada pun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang yang melampau-lampau kencangnya. Yang diarahkan menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus menerus, (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-oleh mereka batang-batang pohon kurma yang tumbang dan lompang. (Surah al-Haaqah:6-7)
Kaum yang tertua dicontohkan di sini ialah kaum Nabi Nuh. Seperti Nabi-Nabi lain, Nuh menyampaikan kepada kaumnya mesej-mesej Allah SWT tetapi pembesar-pembesar mendustakannya. Mereka mengeji Nabi Nuh dan pengikut-pengikutnya. Lalu datang banjir besar, menimpa mereka bersama orang yang tidak percaya, termasuk anaknya sendiri.
Apa yang disebutkan di atas, bencana dan musibah itu sudah ketentuan dan kehendak Allah SWT. Baik sebagai azab bagi mereka yang berdosa kerana terus bermaksiat kepada-Nya, sebagai ujian daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, untuk menghapus kesalahan-kesalahannya dan sebagai pelajaran bagi mereka yang selamat agar mahu kembali kepada-Nya yang telah menyelamatkannya daripada kemaksiatan.
Daripada kisah-kisah umat terdahulu, ternyata bencana dan musibah ditimpa kepada suatu umat kerana perbuatan maksiat.
Mengambil kira hakikat rentetan fenomena demi fenomena yang berlaku masa kini, pastinya dapat direnungi kesudahan hasil daripada tangan manusia dan perbuatan yang dapat mengasingkan antara perkara buruk dengan yang baik. Sejarah kaum-kaum terdahulu telah pun berulang dan akan terus berulang, malah diundang tanpa diduga.
Umat haruslah mengambil iktibar daripada peristiwa gempa bumi di Padang dengan masing-masing bermuhasabah diri dan bertaubat meninggalkan semua bentuk kemaksiatan dan kembali berpegang teguh dan mengamalkan ajaran Islam sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Itulah satu-satunya jalan yang dapat menghindari kita daripada ditimpa musibah atau bencana.
PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
15 July 2009
Aku Adalah Anak Palestina
“Harap Israel boleh cuba mengelakkan serangan mereka dari rakyat biasa.”
Sahabat-sahabat bertanya, “Apakah ketika itu bilangan kamu sedikit ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak, bahkan kamu ramai. Tetapi kamu seperti buih di lautan. Kamu telah diserang penyakit wahn.”
Sahabat bertanya lagi, “Apakah wahn itu ya Rasulullah?”
“Cinta dunia dan takut mati”
Rasul itu contoh ikutan dan pemimpin kami,
Al-quran itu perlembagaan kami,
Jihad itu adalah jalan kami,
Dan mati di jalan ALLAH itu, adalah cita-cita tertinggi kami.
Aku tinggalkan pesanan ini, moga pesanan ini tidak hancur dimusnahkan oleh kemusnahan yang berlaku di sini. Pesanan ini untuk kalian. Ya, kalian. Saudaraku, seaqidah denganku.
- Saya dedikasikan cerpen ini untuk saudara-saudara saya yang sedang berjuang di Palestina. Harap usaha yang saya lakukan ini mengetuk hati-hati yang masih hidup dari kalangan muslimin yang lain. Hanya ini yang mampu saya lakukan. Ampunkanlah kelemahan saya wahai saudara-saudara saya di Gaza, Palestin. Saya hanya mampu berdoa, menangis, menulis, menyeru dan bersuara.